Azizi sumbang wang, buku kepada MAKNA

 

Utusan Malaysia: Azizi sumbang wang, buku kepada MAKNA
21 Jan 2010

PETALING JAYA 21 Jan. 2010 - Semua orang mahu berjaya dalam hidup tetapi apabila kejayaan itu berjaya dicapai; ia tentunya akan lebih bermakna jika dapat dikongsikan bersama mereka yang memerlukan.

Hakikat itu disedari oleh penulis buku-buku bestseller yang juga juruperunding dan pakar kewangan, Azizi Ali.

Justeru, beliau menyumbangkan sebanyak RM10,000 dan juga 100 buah buku beliau berjudul 'Mxe!' kepada Majlis Kanser Nasional (MAKNA) baru-baru ini.

Majlis penyampaian sumbangan itu berlangsung di TrueWealth Publishing, Kelana Jaya dekat sini. TrueWealth ialah penerbit kesemua buku hasil tulisan Azizi.

Pengurus Kanan MAKNA, Vemanna Appannah menerima sumbangan itu dari pihak organisasi tersebut.

Dalam ucapannya, Azizi berharap sumbangan itu akan dapat membantu MAKNA dalam usaha mereka untuk terus memberi kesedaran, memerangi dan membantu pesakit kanser di kalangan rakyat Malaysia.

Beliau juga berharap pesakit yang tidak berkemampuan dan mereka yang tinggal jauh di pedalaman diberikan keutamaan untuk menerima bantuan daripada MAKNA.

"Jika sumbangan ini dapat disalurkan kepada mereka yang tidak berkemampuan dan yang tinggal jauh di kawasan pedalaman, saya sudah pasti akan berasa sangat gembira," katanya.

Azizi turut merakamkan tahniah kepada MAKNA dan para sukarelawan organisasi itu yang dilihatnya cukup dedikasi dalam memastikan MAKNA mencapai matlamatnya.

"Mereka sanggup meluangkan banyak masa, tenaga dan usaha mereka terhadap perjuangan murni organisasi ini."

"Saya ingin mereka tahu yang usaha mereka disanjungi oleh semua orang, bukan sahaja oleh pesakit kanser tetapi juga seluruh rakyat Malaysia."

"Saya juga berharap mereka akan terus memberikan bantuan kepada pesakit-pesakit kanser terutama yang miskin walau di mana sahaja mereka berada," katanya.

Azizi merupakan seorang penceramah, pelatih dan juga penulis pelbagai buku kewangan tersohor di Malaysia.

Sehingga kini, beliau telah menulis lebih daripada 30 buah buku kewangan, antaranya ialah Jutawan dari Planet Jupiter, Lahirnya seorang Jutawan, Pesara Jutawan dan Bagaimana Hendak Menjadi Jutawan Hartanah. Buku terkini beliau ialah Jalan Pintas Kekayaan.

 

© Millionaires Planet. All rights reserved. | Disclaimer | Sitemap
Google+