Dunia Buku: Misteri pembunuhan suami, dunia korporat

 

BERJAYA: Azizi Ali buktikan mampu menulis karya kreatif selepas berjaya dengan buku pengurusan kewangan.

Oleh Farah Wahida Md Razid

 Konflik kasih Brenda Tan dengan peguam Melayu

EKUINOKS karya Azizi Ali mengheret pembaca menelusuri konflik cinta gadis keturunan Cina, Brenda Tan dengan duda, Iskandar ketika mereka bertemu di London kerana melanjutkan pengajian di London dalam usaha memenuhi impian serta melarikan diri daripada masalah di bumi kelahirannya.

Brenda, pelajar terbaik SPM di Pulau Pinang yang berpeluang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan manakala Iskandar yang berusia 1o tahun lebih tua daripada gadis itu adalah calon ijazah falsafah kedoktoran bidang sejarah Kolej Imperial, berpengalaman sebagai peguam sebelum itu.

Iskandar yang pernah gagal dalam perkahwinan selesa dengan kehadiran Brenda kerana memudahkannya memenuhi impian bapanya untuk melihat anak lelakinya itu menjalin persahabatan dengan rakan bukan di kalangan bangsanya sendiri di samping berpeluang bersahabat dengan Suhaimi serta Suzana.

Pengarang mengajak pembaca bersimpati dengan Brenda apabila bapa gadis itu, Pak Cik Tan memaksanya memutuskan hubungan kasihnya kerana beliau sudah mengatur jodoh anak perempuannya itu dengan Henry, anak teman baiknya, Chin yang membiayai sebahagian kos pengajian Brenda.

Sebagai anak yang mengenang budi dan tidak mahu bapanya malu selepas turut dibantu oleh Henry membuka perniagaan di tanah air, Brenda akhirnya bersetuju untuk berkahwin dengan pemuda pilihan bapanya itu meskipun sedar tindakannya akan memberi tamparan hebat kepada Iskandar.

Bagaimanapun pengorbanan Brenda melupakan kenangan cintanya tercabar apabila Henry tampil sebagai suami yang suka memukul isteri menjadi kehidupannya mewah tidak membawa sebarang makna kepada hidupnya walaupun mereka dikurniakan seorang anak.

Pembaca diajak menduga siapakah pembunuh Henry apabila lelaki tidak bertanggungjawab itu ditembak mati dan turut memerangkap Brenda ke permasalahan yang tidak pernah terfikir olehnya apabila disyaki sebagai penjenayah dan ketika berdepan dengan kemelut itu, Iskandar muncul semula bagi menghulur bantuan.

Brenda sepakat dengan Iskandar untuk menggunakan khidmat penyiasat persendirian, Rajen dan kemunculan ahli keluarga Henry serta rakan baik mendiang, Lee, merumitkan lagi kemelut sedia ada selain melukakan hati wanita itu apabila mengetahui suaminya pernah menjalin hubungan sulit dengan dua wanita,

Hubungan sulit Henry dengan Joanne dan Cindy tidak dapat dihidu Brenda kerana suaminya itu terus mencurahkan kemewahan kepada keluarganya, tetapi apabila perniagaannya merudum, suaminya itu terjebak dengan perjudian sehingga mengalami kerugian besar, lantas membuka peluang kepada rakan baiknya Lee, mengambil kesempatan.

Pinjaman RM 1 juta yang diberikan Lee akhirnya menjerat Brenda sehingga terpaksa menyerahkan syarikat dan aset milik suaminya dan kecuaian Iskandar mempercayai Rajen memakan diri sendiri apabila penyiasat itu bersubahat dengan Lee untuk membunuhnya.

Pengarang ini mengajak pembaca untuk menjawab teka-teki siapakah pembunuh Henry dan apakah tindakan Lee terhadap Brenda dan anaknya dalam percubaannya membunuh Iskandar yang dilihat sebagai penghalang kepada rancangannya untuk memilik isteri sahabat baiknya itu.

INFO: Ekuinoks

  • Karya: Azizi Ali
  • Tebal: 405
  • Penerbit: Anggun Publishing
  • Harga: RM29.90
  • Bintang: ****

Pakar pengurusan kewangan tulis novel

AZIZI Ali yang lebih dikenali sebagai penulis buku kewangan peribadi yang laris di pasaran Malaysia dan berjaya menembusi pasaran Brunei Darussalam serta Singapura, mula mengorak langkah dalam dunia penulisan kreatif dengan novel pertamanya, Ekuinoks,

Juruterbang Sistem Penerbangan Malaysia ini sudah menulis lebih 30 judul buku yang berjaya mencatat jualan laris di pasaran dan antaranya ialah Millionaires are from a different Planet!, The Millionaire in Me, Jutawan Dari Planet Jupiter!, How to Become a Millionaire Landlord, Jutawan Ekstrem, Retire Rich, Pelita Jutawan dan terbaru, ScamBuster.

Individu serba boleh yang dilahirkan di Santan, Beseri, Perlis pada 4 Jun 1962 ini, turut mengendalikan beberapa bengkel motivasi seperti di Suruhanjaya Sekuriti, Petronas, KWSP, Institut Pelaburan Permodalan Nasional Berhad, Takaful Nasional, Malaysia Airlines selain pernah mengetuai sejumlah 12,000 peserta di Bangkok, Thailand.

Sikap bersahaja pemilik True Wealth Sdn Bhd ketika berceramah dan kemampuannya membeli penyelesaian ringkas tetapi padat, beribu jenis masalah bagi individu yang berdepan dengan kesulitan mengawal kewangan mereka, mendapat Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada University of Bath, United Kingdom (UK).

Beliau beberapa kali tampil sebagai panel pada forum di stesen televisyen seperti TV3, RTM, News Radio di Singapura dan RTB Brunei, turut menulis rencana untuk The New Straits Times, Personal Money, Smart Investor dan penulis pojok Malaysian Business terbitan Berita Publishing Sdn Bhd serta dianugerahi Pingat Setia Mahkota Perlis pada 2004.

Sila KLIK di sini untuk membuat pesanan anda.

© Millionaires Planet. All rights reserved. | Disclaimer | Sitemap
Google+