Taktik sama jerat pelabur tamak

 

Utusan Malaysia: Taktik sama jerat pelabur tamak
24 Jan 2012

PETALING JAYA 24 Jan. - Modus operandi sama - mencari lebih ramai pelabur agar dapat membayar balik pulangan atau dividen yang tinggi bagi menutup segala penipuan skim pelaburan.

Begitulah yang boleh dikatakan bagi mendifinisikan skim pelaburan cepat kaya ataupun penipuan pelaburan tidak kira di laman sosial mahupun laman web biasa.

Perunding kewangan, Azizi Ali berkata, sejak skim pelaburan Pak Man Telo hingga ke hari ini, cara kerja dan teknik yang digunapakai adalah sama, cuma dibezakan dengan penggunaan teknologi serta barangan yang digunapakai.

"Ada yang menggunakan emas, saham, minyak wangi, serta wang pos sebagai alat jualan dan tidak kurang juga dengan hanya berjanji mulut untuk memberi pulangan yang tinggi.

"Jika tiada lagi pelabur dan duit pelaburan baru yang masuk, lama-kelamaan ia akan jatuh kerana tiada wang untuk diberikan kepada pelabur yang dikatakan sebagai pulangan itu," katanya.

Azizi berkata, pelaburan kebiasaannya akan mendapat pulangan sekitar 8 peratus hingga 15 peratus setahun mengikut keuntungan syarikat tersebut dan keadaan semasa.

Namun katanya, terdapat syarikat yang berjanji memberikan pulangan sehingga 10 peratus sebulan atau 3 peratus sehari iaitu mencapai sehingga 120 peratus hingga 1,000 peratus setahun.

Menurutnya, keadaan itu tidak mungkin berlaku kerana pengurus dana pelaburan terbaik dunia seperti Warren Buffett dan George Soros hanya mencapai pulanagan tertinggi 34 peratus setahun.

"Jika terdapat rakyat negara ini atau mana-mana negara sekalipun yang berjaya mendapat pulangan 120 peratus setahun mungkin nama mereka telah berada dalam Forbes dan Fortune," katanya.

Jika keadaan tersebut berlaku katanya, lebih baik pelabur merujuk kepada agensi kerajaan yang terlibat seperti Suruhanjaya Sekuriti atau Bank Negara sebelum melakukan sebarang pelaburan.

Menurut Azizi, terlalu banyak penipuan yang melibatkan pelaburan dan kebiasaannya pelabur gelap mata apabila mendengar pulangan yang tinggi dijanjikan.

Hingga katanya, pelabur akan tertipu dengan skim tersebut yang lebih mudah dikatakan sebagai skim cepat kaya seperti yang berlaku kepada SwissCash pada satu ketika dahulu.

"Lebih baik menyimpan dan memaksimumkan amanah saham yang dibuat oleh kerajaan seperti Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Bumiputera daripada melabur ke dalam skim yang tidak tahu hujung pangkal.

"Jika mahu juga, pelabur diingatkan agar mengetahui selok belok pelaburan dengan membaca dan mengkaji skim yang berkaitan sebelum membuat sebarang keputusan," katanya.

© Millionaires Planet. All rights reserved. | Disclaimer | Sitemap
Google+