|
Azizi Ali mengambil tindakan mahkamah terhadap Razzi Armansur
Pada pertengahan tahun 2007, saya telah terbaca artikel yang bertajuk “Isra' Mikraj dan Pembohong” yang telah dipaparkan di laman web www.Armansur.com sejak dari 10.11.2005.
Artikel tersebut mengandungi perkataan-perkataan yang menghinakan dan mengaibkan saya, termasuk memberi ibasan yang saya seorang pembohong dan juga saya meniru hasil kerja penulis lain. Artikel itu dan juga beberapa artikel lain di laman web yang sama juga telah ‘menyerang' Irfan Khairi, Datuk Lawrence Chan, Dato Dr Fadzillah Kamsah dan Nimoiz (walaupun setengah daripada nama mereka tidak disebut dengan secara langsung).
Kandungan itu telah mengaibkan saya dan juga syarikat TrueWealth Sdn Bhd kerana syarikat itu yang menerbitkan buku tulisan Irfan Khairi dan Nimoiz. Ini telah memberikan tanggapan negatif terhadap saya dan juga syarikat TrueWealth Sdn Bhd.
Pada mulanya Razzi Armansur atau nama sebenarnya Ahmad Razi bin Ahmad Sihat menidakkan fakta yang dialah yang menulis artikel tersebut. Tetapi beberapa hari selepas mendapat surat daripada peguam saya, semua artikel dan kandungan yang mengaibkan itu telah hilang dari laman web yang disebut di atas.
Saya telah mengambil tindakan mahkamah terhadap Razzi Armansur. Perintah mahkamah pun telah di keluarkan dan dalam proses untuk dihantarkan kepada Razzi (salinan perintah disertakan).
Azizi Ali
25hb Dis 2007
|